Wednesday, April 9, 2008

surat TG Nik Aziz kepada TG Hj Hadi

BERIKUT merupakan surat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang:

YB Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
YB Datuk Seri,

Alhamdulillah. Allah SWT yang memiliki seluruh alam semesta serta sekalian kerajaan langit dan bumi telah memakbulkan doa dan munajat kita.

Setiap butir air mata umat yang telah gugur selama ini telah semakin terjawab sebahagiannya.

Berkat kepimpinan Yang Berhormat Datuk Seri, yakinlah kita bahawa tentu ada sesuatu yang tepat antara apa yang kita ikhtiarkan dan hajati selama ini dengan apa yang tersimpan “di atas sana” buat kita.

Bagaikan bersamaannya paksi Ka’abah dan Baitul Makmur, maka bersahut jualah akhirnya persamaan itu dalam pilihan raya pada 8 Mac 2008 lalu.

Antara hajat di bumi dan takdir di langit yang tersusun rapi dalam satu persetujuan itulah kita kini sedang sama-sama tunduk, menangisi sebuah kesyukuran justeru terlalu khudhu’ menerima ujian kemenangan.

Tahniah yang sejujurnya buat Datuk Seri dari saya.

Dalam meneruskan fasa perjuangan berupa pengisian di negeri-negeri 5+1, saya masih terasa akan perlunya kita untuk lebih berhati-hati.

Terkini, setelah membaca dan mengikuti rentak respons rakan-rakan pimpinan kita di dalam PAS dan BA pada umumnya, yang mengatur langkah apa yang dinamakan sebagai ‘era pembaharuan 100 hari’, mungkin ada baiknya kita menyegerakan langkah mewujudkan badan penyelaras peringkat pusat.

Ia wajar berfungsi sebagai badan penentu keutamaan program bertindak mengisi pelaksanaan manifesto “negara berkebajikan” mengikut marhalah di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Apa yang mustahak diawalkan harus didahulukan dan apa yang mungkin kurang prioriti bolehlah dikemudiankan.

Mungkin, jika hikmahnya sesuatu itu tidak disebutkan, maka ia seeloknya didiamkan saja buat sementara waktu.

Dalam keghairahan menerima kemenangan, kita perlu cermat di sini. Sesungguhnya, ini saya kira terlalu penting kerana kehadiran kita terkini cukup diikuti oleh seluruh lapisan rakyat dan seteru kita.

Buat diri saya sendiri, InsyaAllah; saya akan lebih berhati-hati untuk mendukung roh kesedaran ini.

Semoga keadaan kita yang sering saling pesan memesan ini akan sentiasa dipimpin oleh petunjuk dan keredhaan dariNYA jua.

Wallahua’lam.

Nik Abdul Aziz Nak Mat
Mursyidul Am PAS.

kelantankini

No comments: